( gambar REUTERS )

Setiap orang pasti telah mengetahui perkataan ini yang disebut-sebut sebagai hadis nabi.

اُطْلُبُوْا العِلْمَ وَلَوْ في الصِّينِ

“Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China.”

Inilah yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai hadis Nabi SAW. Perlu diingat tidak semua perkataan yang disebut hadis terus kita mengatakan itu adalah perkataan Nabi SAW. Boleh jadi yang meriwayatkan hadis tersebut ada yang lemah hafalannya, sering keliru, bahkan mungkin sering berdusta sehingga membuat hadis tersebut tertolak atau tidak boleh digunakan.

Penjelasan Darjat Hadis

Majoriti ulama pakar hadis menilai bahawa hadis ini adalah hadis dho’if (lemah) dilihat dari banyak jalan. Dinukil dari Al Mizziy pula mengatakan bahawa hadis ini memiliki banyak jalan, sehingga ke darjat hasan.

Dengan demikian semakin jelaslah bagi para penuntut ilmu mengenai status hadis ini. Majoriti ulama menilai hadis ini sebagai hadis dho’if (lemah). Ibnu Hibban menilai hadis ini adalah hadis yang batil. Sedangkan Ibnul Jauziy menilai bahawa hadis ini adalah hadits maudhu’ (palsu).

Adapun perkataan Al Mizziy yang mengatakan bahawa hadis ini boleh menjadi hadis hasan kerana dilihat dari banyak jalan, pendapat ini tidaklah bagus (kurang tepat). Alasannya, kerana banyak jalur dari hadis ini dipenuhi oleh orang-orang pendusta, yang dituduh dusta, suka memalsukan hadis dan semacamnya. Sehingga hadis ini tidak mungkin boleh sampai ke darjat hasan.

Syarat hadis dikatakan sahih adalah semua periwayat dalam hadis tersebut adalah adil (baik agamanya), dhobith (kuat hafalannya), sanadnya bersambung, tidak menyelisihi riwayat yang lebih kuat, dan tidak ada illah (cacat). Inilah syarat-syarat yang dijelaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab Mustholah Hadis (memahami ilmu hadis).

Seandainya Hadits Ini Sahih

Seandainya hadis ini sahih, maka ini tidak menunjukkan kemuliaan negeri China dan juga tidak menunjukkan kemuliaan masyarakat China kerana maksud dari ‘Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China’ –seandainya hadis ini sahih, adalah cuma sekadar motivasi untuk menuntut ilmu agama walaupun sangat jauh tempatnya. Menuntut ilmu agama sangat penting sekali. Kebaikan di dunia dan akhirat bakal diperolehi dengan mencari ilmu agama ini dan mengamalkannya.

Dan tidak dimaksudkan sama sekali dalam hadis ini mengenai keutamaan negeri China. Namun, kerana negeri China adalah negeri yang sangat jauh sekali dari negeri Arab sehingga ada yang membuat hadis atas nama Nabi SAW memisalkan dengan negeri tersebut. Tetapi perlu diingat sekali lagi, ini jika hadis tadi adalah hadis yang sahih.

Keterangan secara pendek tentang darjat hadis

Hadis sahih adalah hadis yang memenuhi syarat: semua periwayat dalam hadis tersebut adalah adil (baik agamanya), dhobith (kuat hafalannya), sanadnya bersambung, tidak menyelisihi riwayat yang lebih kuat, dan tidak ada illah (cacat).

Hadis hasan adalah hadis yang memenuhi syarat sahih di atas, namun ada kekurangan dari sisi dhobith (kuatnya hafalan).

Hadits dho’if (lemah) adalah hadis yang tidak memenuhi syarat sahih seperti sanadnya terputus, menyelisihi riwayat yang lebih kuat (lebih shohih) dan memiliki illah (cacat).