“Al-witir ” makna ringkasnya adalah jumlah ganjil seperti satu, tiga, lima dan seterusnya.

Sabda Rasulullah SAW;

 

وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

Dan Dia (Allah SWT) itu ganjil (Satu atau Yang Maha Esa)  dan mencintai yang ganjil.

(Sahih al-Bukhari, no: 6410)

    Solat witir boleh dilakukan antara solat Isyak hingga munculnya fajar iaitu masuknya waktu subuh dan sebagai penutup bagi solat malam.Solat Witir ini tidak boleh dilakukan dalam rakaat yang genap.

    Pentingnya solat witir ini sehinggakan Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya dalam musafir. Pernyataan ini dikuatkan dengan riwayat dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Jadikanlah solat akhir kalian dengan solat witir.

(Sahih al-Bukhari , no: 998)

    Rasulullah SAW juga memberi pesanan yang penting mengenai solat witir ini sebagaimana pesanannya kepada Abu Darda’ RA :

أَوْصَانِي حَبِيبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ لَنْ أَدَعَهُنَّ مَا عِشْتُ

بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَصَلاَةِ الضُّحَى وَبِأَنْ لاَ أَنَامَ حَتَّى أُوتِرَ.

Kekasihku SAW pernah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak aku tinggalkan sehingga akhir hayatku iaitu berpuasa tiga hari pada setiap bulan (hijrah), menunaikan solat Dhuha dan tidak tidur sehinggakan  mengerjakan solat witir. 

(Sahih Muslim, no: 722)

    Semoga kita mengamalkan solat witir yang merupakan sunnah Rasulullah dan mendapat kebaikan dan rahmat dari Allah SWT diatas apa yang kita amalkan.