Pesawat Ethiopian Airlines terhempas sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang di Addis Ababa, Ethiopia pada pagi Ahad 10 Mac 2019.

Pengurusan syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa semua orang di dalam pesawat yang terdiri daripada 149 penumpang dan 8 anak kapal terbunuh.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan kini berada di tempat kejadian kemalangan dan mengesahkan bahawa tidak ada yang terselamat,” kata kenyataan syarikat penerbangan yang dimuat naik melalui Twitter.

Berdasarkan dari Sky News , pesawat Boeing 737-8 MAX membawa penumpang dari 33 negara.Pesawat ini merupakan pesawat yang baru dibeli dan hanya baru beberapa bulan melakukan penerbangan dimana kali pertama adalah pada November 2018.

Model pesawat itu adalah sama jenis dengan nahas pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang,Indonesia pada tahun lalu yang mengorbankan 189 nyawa. Pesawat Lion Air JT610 terhempas pada Oktober 2018, selepas 13 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Sementara itu, pengurusan syarikat penerbangan Ethiopian Airlines berkata, penerbangan ET 302 terhempas berhampiran bandar Bishoftu kira-kira 50 km tenggara Addis Ababa.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole ke Nairobi, Kenya, pada pukul 08.38 waktu tempatan.

Kemudian, pesawat hilang hubungan dengan menara kawalan pada 08.44 atau selang enam minit dari waktu berlepas.

Halaman pengesanan penerbangan Flightradar24 melaporkan bahawa pesawat itu mempunyai kelajuan menegak yang tidak stabil selepas berlepas.

Ethiopian Airlines adalah sebuah syarikat milik negara yang mengaku sebagai syarikat penerbangan terbesar di Afrika. Syarikat penerbangan itu bercita-cita tinggi menjadi gerbang untuk meneroka benua Afrika.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan Ethiopia Tewolde Gebremariam yang segera melawat tempat nahas kemalangan itu berkata semua penumpang dan anak kapal terbunuh.

Dia mengakui bahawa asap masih timbul apabila dia tiba di lokasi kemalangan di bandar Bishoftu.

Dalam satu sidang akhbar pada sebelah petang, Gebremariam berkata siasatan ke atas punca kemalangan akan dilakukan secepat mungkin untuk mengetahui punca sebenar nahas kemalangan yang menyedihkan ini.

“Pemeriksaan rutin terhadap pesawat ini tidak pernah menemui sebarang kerosakan,” katanya, seperti yang ditulis oleh Afrika News .

“Pesawat itu baru saja dihantar kepada kami pada bulan November 2018,” katanya.

Dia mendedahkan bahawa kapten penerbangan telah meminta untuk kembali ke lapangan terbang kerana mengalami kesulitan. Selanjutnya, kapten telah mendapat izin untuk kembali ke Addis Ababa.

Sebelum dijadualkan penerbangan menuju Nairobi, Kenya dan terhempas, pesawat itu diketahui baru saja menempuh penerbangan dari Johannesburg, Afrika Selatan tanpa mengalami sebarang insiden.

“Pesawat itu sudah mempunyai lebih dari tiga jam waktu di darat setelah tiba dari Afrika. Tidak ada sebarang masalah,” ujarnya.

Dewan Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Serikat akan menghantar pasukannya untuk membantu dalam menyelidik punca nahas pesawat Ethiopian Airlines.

Dibawah adalah senarai penumpang yang terbunuh berdasarkan warganegara:

32 Kenya

18 Kanada

9 Ethiopia

8 China

8 Itali

8 Amerika Syarikat

7 Britain

7 Perancis

6 Mesir

5 Belanda

4 Pemegang pasport Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

4 India

3 Rusia

2 Maghribi

2 Israel

1 Belgium

1 Uganda

1 Yaman

1 Sudan

1 Togo

1 Mozambique

1 Norway